SELAMAT DATANG

Saudara/saudari yang dikasihi sekalian,


Selamat bertemu di gerbang blog FAJARSOLEH. FAJARSOLEH memberi ruang kepada semua pelawat mengemukakan pendapat dan pandangan mengenai apa yang berlaku di sekeliling kita, khususnya berkaitan isu-isu kekeluargaan, kemasyarakatan, kemanusiaan dan keagamaan. Semoga kita dapat menggunakan ruang blog ini untuk memberi manfaat ke arah kesejahteraan ummah dan keredhaan Allah.

Wednesday, November 10, 2010

PENGABAIAN TERHADAP IBUBAPA

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga bulan Mei 2010 menunjukkan seramai 721 orang warga emas yang menghuni Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan di bawah kendalian JKM mempunyai anak yang masih dapat dikesan.

2. Trend semasa memperlihatkan anak-anak semakin kurang menghargai ibubapa. Berita-berita yang dipaparkan di media massa menunjukkan anak-anak tergamak membuang dan menghantar ibu-bapa ke pusat penjagaan warga emas dan tidak lagi mahu mengambil tahu keadaan ibubapa mereka. Akhbar Berita Harian bertarikh 2 Julai 2010 memaparkan rintihan ‘seorang bapa yang dibuang di rumah jagaan bukan Islam’ di Georgetown, Pulau Pinang. Terbaru pada 24 Oktober 2010, akhbar sama melaporkan seorang ‘bapa dikurung anaknya’ di kawasan garaj kereta.

3. Justeru, bagi menggalakkan warga emas terus berada dalam keluarga dan masyarakat, program-program yang berasaskan pembangunan komuniti perlu dipergiatkan. Program sebegini memerlukan penyertaan masyarakat secara menyeluruh dengan pendekatan multi-sektoral yang mana semua pihak iaitu agensi kerajaan, pertubuhan sukarela (NGO), sektor swasta, masyarakat setempat dan warga emas itu sendiri bersama-sama bergerak menjalankan program tersebut.

4. Antara lain program pembangunan komuniti yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan sistem sokongan kepada warga emas dan keluarga mereka ialah Pusat Aktivit Warga Emas, Pusat Jagaan Harian Warga Emas, Program Khidmat Bantu Di Rumah dan program 'respite care' (penjagaan jangka pendek bagi membolehkan ahli keluarga yang menjaga ibu-bapa berehat seketika). Di samping itu program-program lain yang boleh memberi kesedaran kepada anak-anak tentang tanggungjawab mereka untuk menjaga ibu-bapa yang telah berusia emas juga perlu dilaksanakan secara aktif dan berterusan.

Sunday, November 7, 2010

PENGEMISAN

Masalah pengemisan semakin mendapat liputan di media cetak dan elektronik. Pada 12 Oktober yang lepas tersiar di akhbar Utusan Malaysia tentang penyamaran wartawan akhbar tersebut menjadi pengemis dan dalam masa 2-3 jam mereka dapat meraih ratusan ringgit hasil simpati warga kota yang pemurah. Cerita tentang penyamaran wartawan ini menjelaskan kepada kita tentang mudahnya mendapatkan sumber kewangan melalui aktiviti pengemisan.

Sewajarnya cerita ini menyedarkan kita betapa sumbangan yang kita hulurkan itu sebenarnya telah menyumbang kepada berleluasanya masalah ini. Pemberian kita walaupun dengan niat ikhlas dan suci untuk membantu golongan miskin dan daif tetapi sebenarnya telah memberi implikasi amat negatif kepada diri pengemis itu sendiri dan masyarakat serta negara secara amnya. Sumbangan kita itu telah menggalakkan golongan ini untuk berterusan hidup menadah tangan meminta-minta di jalanan tanpa perlu memikirkan untuk berusaha mencari rezeki dengan jalan yang bermaruah. Bermakna secara tidak langsung kita menggalakkan mereka untuk hidup dengan menjatuhkan maruah mereka dengan meminta-minta mengharapkan simpati orang lain dan terus hidup sebagai manusia yang hilang harga diri..

Sikap pemurah kita juga telah memberi peluang kepada kumpulan tertentu mempergunakan mereka yang kurang bernasib baik, OKU, miskin dan anak yatim untuk mendapatkan kewangan dengan jalan mudah. Tambah memburukkan keadaan, sikap pemurah kita telah menyebabkan kehadiran pengemis warga asing ke negara ini dengan menyalahgunakan pas lawatan mereka. Cuba kita fikirkan, bagaimana pengemis asing yang meniarap dan merangkak sambil menadah tangan boleh sampai ke negara ini jika benar begitulah keadaan fizikalnya?...

Akhirnya, sama-sama kita fikirkan adakah kita mahu aktiviti pengemisan ini menjadi sub-culture kepada masyarakat kita, mahukah negara kita yang dianugerah Allah dengan pelbagai sumber ini digambarkan seolah-olah rakyatnya masih ramai hidup dalam keadaan himpitan kemiskinan...

TIDAK SIAPA MENAFIKAN BAHAWA MEMBANTU ORANG MISKIN ADALAH SATU PERBUATAN YANG BAIK DAN TERPUJI... TETAPI JIKA SUMBANGAN KITA CUMA AKAN MENYEBABKAN GOLONGAN INI BERTERUSAN BERADA DALAM 'HIMPITAN KEMISKINAN', APAKAH KITA INGIN TERUS MEMNGHULUR
WANG KEPADA MEREKA?....LALU MEREKA AKAN TERUS HIDUP DALAM KEADAAN YANG SEDEMIKIAN, YANG HILANG MARUAH DAN HARGA DIRI...

Thursday, October 21, 2010

Harian Metro - Selagi kita terus murah hati

22 Julai 2010

KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang terhadap kegiatan pengemis jalanan atau kutu rayau tidak mencukupi kerana selagi orang ramai terus memberi derma selagi itulah kegiatan berkenaan akan berterusan dan sukar diatasi.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Fazari Mohd Salleh, berkata kesedaran masyarakat perlu dipertingkatkan kerana walaupun usaha membendungnya kerap dilakukan JKM, namun aktiviti itu masih lagi berleluasa.
“Orang ramai perlu sedar tindakan mereka menghulurkan derma kepada pengemis dan kutu rayau akan menggalakkan kegiatan pengemis dan menyukarkan lagi usaha untuk membanterasnya.
“Sepanjang Januari hingga Mei 2010 saja, sejumlah 875 pengemis atau kutu rayau sudah diselamatkan JKM dan kini menjalani pemulihan di institusi kebajikan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.
Mohd Fazari berkata, berdasarkan pemantauan terdapat banyak kawasan dikenal pasti sebagai tumpuan pengemis melakukan kegiatan mereka iaitu kawasan tumpuan ramai antaranya sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, stesen transit aliran ringan (LRT), serta pasar malam sekitar ibu kota.
“Isu pengemis atau kutu rayau adalah kompleks kerana mereka mempunyai pelbagai kategori terdiri daripada pengemis tempatan dan warga asing serta tergolong sebagai warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU). “Justeru, ia memerlukan strategi dan tindakan bersama dengan semua agensi. Dalam hal ini, JKM melaksanakan tiga jenis operasi iaitu Operasi Bersepadu (berkala), Operasi Ad-Hoc dan Operasi Aduan dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Katanya, sekiranya operasi bersepadu dijalankan, JKM mendapat kerjasama padu daripada pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak berkuasa tempatan, Jabatan Imigresen, polis, Agensi Dadah Kebangsaan dan masyarakat setempat.
Menurutnya, JKM bertindak menyelamatkan pengemis atau kutu rayau mengikut peruntukan seksyen 3(2) Akta Orang-Orang Papa (AOP) 1977. “Bagi pengemis tempatan, mereka akan ditahan selama 30 hari untuk siasatan dan jika terbukti mengemis, mereka akan ditahan di Institusi Kebajikan untuk menjalani pemulihan tiga tahun.
“Bagi pengemis warga asing, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya manakala pengemis kanak-kanak akan diserahkan kepada Pelindung JKM yang akan menyelamatkan mereka berdasarkan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.
“JKM mempunyai jadual terancang yang dilakukan sepanjang bulan oleh JKM negeri dan daerah bagi mengatasi masalah ini. Tetapi sekiranya pihak jabatan menerima aduan mengenai kes pengemisan, JKM akan bertindak segera. Kebiasaannya, JKM menerima aduan melalui panggilan telefon ataupun rujukan kes dari Talian Nur 15999,” katanya.

Wednesday, October 20, 2010

GELANDANGAN

Menurut Hall, 2009, istilah Gelandangan atau Homeless pada asalnya disebut sebagai Vagrants yang kemudiannya digantikan kepada bahasa Eufemistis iaitu Homeless.

Kamus Dewan Edisi Empat mentakrifkan, gelandangan sebagai orang yang tiada pekerjaan atau tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap, manakala Mr. Dominic Mapstone, Social Worker and Director of Rebecca Community pula mentakrifkan gelandangan sebagai "...an inadequate experience of connectedness of family and or community".

Melalui takrifan di atas dapat difahami bahawa gelandangan adalah individu atau sekumpulan orang yang bukan sahaja tidak mempunyai pekerjaan atau tempat tinggal tetapi juga telah hilang kefungsiannya dalam keluarga ataupun masyarakat. Golongan ini juga sangat berkait rapat dengan fenomena orang papa seperti yang ditafsirkan di bawah seksyen 2, Akta Orang-Orang Papa 1977 iaitu:

(i) seseorang yang mengemis di tempat awam hingga menimbulkan kegusaran atau mengganggu orang ramai yang biasa mengunjungi tempat tersebut; atau

(ii)seseorang peleser yang dijumpai di tempat awam, sama ada ia mengemis atau tidak, yang tiada mata pencarian pada zahirnya atau tiada tempat tinggal atau tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan.

Gelandangan atau homeless bukanlah satu fenomena yang baru. Namun, sejak akhir-akhir ini ia menjadi satu fenomena sosial yang semakin menarik perhatian umum di negara ini kerana ia menimbulkan kegusaran masyarakat sekeliling dan semakin banyak dibangkitkan di dalam media cetak dan media elektronik, terutamanya masalah gelandangan yang berlaku di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.

Masalah gelandangan kebiasaannya terjadi akibat sukar untuk mendapat pekerjaan, tidak mampu menanggung kos sara hidup dan sewa rumah yang tinggi terutamanya di bandar-bandar besar. Golongan penagih dadah dan pesakit mental yang telah terbiasa dengan kehidupan bergelandangan yang bebas dan tidak terikat dengan sesiapa juga menyumbang kepada isu gelandangan ini.

Pada masa ini, golongan gelandangan menjadi sebahagian daripada pemandangan biasa di sekitar kawasan ibu negara, khususnya pada waktu malam. Keadaan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan reputasi dan imej negara. Isu gelandangan ini tidak lagi boleh dianggap sebagai isu terpencil tetapi perlu dilihat sebagai masalah sosial yang wajar ditangani dan dicari jalan penyelesaian dengan segera. Justeru, mekanisme yang terbaik bagi menangani isu ini, sekaligus dapat membantu mereka diintegrasikan semula ke dalam masyarakat serta tidak terus tercicir daripada arus perdana pembangunan negara perlu dirancang dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Gelandangan - Penghuni kaki lima Kuala Lumpur boleh dapatkan rumah rakyat

smohd@bharian.com.my
2010/09/14

BANGSAR: Golongan gelandangan yang bekerja tetapi menjadikan kaki lima di bandar raya ini sebagai tempat tidur boleh memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pembangunan Bandar (KWPKB). Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata antara syaratnya ialah mereka menetap di Kuala Lumpur, berpendapatan bawah RM2,500 dan warga negara Malaysia. Beliau berkata, golongan gelandangan terutama yang sudah berkeluarga boleh memohon untuk menyewa rumah PPR yang harganya hanya RM124 sebulan.

“Jika cukup syarat yang ditetapkan golongan terbabit boleh mendapatkan borang di pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Bagaimanapun, pemohon perlu menunggu kerana rumah PPR adalah terhad berbanding 25,000 senarai menunggu yang akan dipindahkan dari kawasan setinggan di bandar raya ini,” katanya.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani golongan gelandangan dalam usaha membanteras masalah individu berpeleseran di negara ini melalui pendekatan terbaik.
Jawatankuasa itu diwujudkan Mac lalu dan dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian terbabit.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Fazari Mohd Salleh, berkata gelandangan dibahagikan kepada enam kategori iaitu merujuk kepada golongan miskin tanpa rumah atau kerja, ada kerja tidak tetap dan tidak mampu memiliki rumah, pengemis atau individu berpeleseran, pesakit mental, penagih dan penghidap HIV.

Beliau berkata, masalah itu baru 'diketengahkan' di negara ini dan kementerian melalui JKM serta jawatankuasa khas terbabit sedang mengumpul data berhubung golongan sasaran.

Kebanyakan golongan gelandangan di ibu kota yang bekerja terpaksa menjadikan kaki lima sebagai tempat tidur kerana gaji yang diperoleh tidak mencukupi untuk menyewa rumah yang mahal.

Golongan itu mendakwa kira-kira 40 peratus gelandangan yang berpendapatan RM1,000 hanya mampu menyewa rumah PPR yang harganya lebih murah.

Raja Nong Chik berkata, KWPKB akan melihat keperluan jika golongan terbabit lebih memerlukan rumah berbanding senarai menunggu setinggan yang masih dalam perbincangan.

Berita Harian Online - Nasib gelandangan dapat perhatian kerajaan, NGO

Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail dan Sarah Sulaiman
bminggu@bharian.com.my 2010/08/01

KUALA LUMPUR: Kawasan tertentu sekitar ibu negara menjadi tempat berkeliaran sekitar 1,000 kutu rayau dan kawasan yang menjadi tumpuan mereka ialah Hentian Puduraya, Kompleks Dayabumi dan kawasan lapang serta perhentian bas di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini. ‘Katil’ mereka di kaki lima bangunan, tempat letak kenderaan, bawah jambatan, jejambat atau kawasan lapang manakala beg galas, kertas surat khabar lama atau kotak kertas dijadikan bantal dan ada kalanya memadai berbantalkan lengan sendiri saja, sebagai tempat tidur berbumbungkan langit.
Golongan yang juga dikenali sebagai gelandangan terbabit, bukannya tidak pernah ditawarkan pekerjaan di sektor perladangan, pengeluaran dan restoran tetapi masalah yang bagaikan tiada noktah itu adalah kerana sikap kutu rayau itu sendiri.

Program Jabatan Tenaga Kerja dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan golongan itu kerja juga tidak mendapat sambutan seperti diharapkan apabila kebanyakan mereka kembali kepada keadaan asal selepas beberapa hari bekerja.

Golongan itu juga didapati tidak berminat untuk bekerja tetapi sekadar datang ketika waktu program untuk mendapat makanan percuma yang diberikan NGO.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed, berkata melalui program pendaftaran dan penempatan golongan gelandangan dan pencari kerja yang dijalankan bermula 22 Februari hingga 20 April lalu, ada 137 golongan gelandangan mendaftar.
Daripada jumlah itu, 41 orang berjaya diberikan pekerjaan dan selebihnya masih menganggur.

“Daripada 41 orang yang berjaya mendapat kerja pula, 20 saja yang kekal dan jumlah selebihnya melarikan diri atas sebab tertentu, termasuk mendakwa tidak sesuai dengan pekerjaan ditawarkan.

“Melalui program untuk mendapatkan kerja kepada golongan gelandangan yang diadakan secara berjadual di sekitar Masjid Negara, Hentian Puduraya, Masjid India dan hentian bas Pasar Seni, saya berpendapat golongan ini tidak berminat untuk bekerja. Mereka lebih selesa dengan kehidupan sebegitu kerana tidak perlu memikirkan soal mencari makanan kerana ia diberikan NGO,” katanya.

Sheikh Yahya tidak menafikan ada segelintir golongan gelandangan bekerja dengan serius selepas mendapat pekerjaan hinggakan majikan memberikan tempat tinggal.

“Ada juga kes majikan terpaksa memilih dengan teliti golongan ini kerana ada yang mempunyai rekod jenayah yang berulang dan penagih dadah. Majikan juga perlu berhati-hati dalam memilih pekerja kerana sebelum ini beberapa kes penipuan berlaku apabila mereka yang diberi kerja hanya mengambil kesempatan untuk mencuri barangan pekerja lain,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang ingin mencari pekerjaan, kaunter Jabatan Tenaga Kerja dibuka setiap malam Selasa dan Khamis di Masjid India dan kawasan berhampiran Hentian Puduraya.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Isu Golongan Gelandangan dalam usaha membanteras masalah individu berpeleseran di negara ini melalui pendekatan yang terbaik.

Jawatankuasa itu diwujudkan Mac lalu dan dipengerusikan ketua setiausaha kementerian terbabit. Gelandangan dibahagikan kepada enam kategori, merujuk kepada golongan miskin tanpa rumah atau kerja, ada kerja tidak tetap dan tidak mampu memiliki rumah, pengemis atau individu berpeleseran, pesakit mental, penagih dan penghidap HIV.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Fazari Mohd Salleh, menyifatkan masalah kutu rayau itu sebagai baru di negara ini dan kementerian menerusi JKM serta jawatankuasa khas terbabit sedang mengumpul data berhubung golongan sasaran.

Katanya, melalui maklumat NGO yang membantu golongan berkenaan termasuk yang memberikan makanan secara percuma, ada kira-kira 1,000 gelandangan di sekitar ibu negara tetapi data terperinci mengenai golongan itu sedang dikumpulkan.

“Pelbagai pihak kini sedang berusaha mengumpulkan maklumat berkaitan perkara ini, termasuk agensi yang terbabit adalah JKM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Belia dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), enam NGO dan sebuah syarikat pembekal makanan segera,” katanya.