SELAMAT DATANG

Saudara/saudari yang dikasihi sekalian,


Selamat bertemu di gerbang blog FAJARSOLEH. FAJARSOLEH memberi ruang kepada semua pelawat mengemukakan pendapat dan pandangan mengenai apa yang berlaku di sekeliling kita, khususnya berkaitan isu-isu kekeluargaan, kemasyarakatan, kemanusiaan dan keagamaan. Semoga kita dapat menggunakan ruang blog ini untuk memberi manfaat ke arah kesejahteraan ummah dan keredhaan Allah.

Wednesday, October 21, 2009

KEPERLUAN MANUSIA

Mengikut Abraham Maslow, keperluan mempunyai enam (6) tahap. Untuk memenuhi setiap tahap keperluan manusia perlu memenuhi peringkat sebelumnya. Tahap-tahap tersebut ialah:

Keperluan Fizikal
Keperluan Keselamatan
Keperluan Kasih Sayang
Keperluan Penghargaan Diri
Keperluan Kesempurnaan Diri
Keperluan Kefahaman Kognitif

KEGANASAN RUMAH TANGGA

Isu keganasan rumah tangga di Malaysia telah dikesan sejak awal tahun 1960an lagi. Walaubagaimanapun, kebanyakan insiden jarang dilaporkan kerana isu ini dianggap sebagai masalah peribadi dan patut diselesaikan dalam konteks keluarga itu sendiri.

Masalah ini kini dikatakan sebagai satu masalah sosial pada semua peringkat masyarakat tanpa mengira bangsa, kelas dan status ekonomi. Golongan yang lebih ketara menjadi mangsa keganasan rumah tangga ini ialah golongan wanita.

Kerajaan Malaysia mengambil langkah menggubal Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi menangani isu ini. Penggubalan Akta ini bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga daripada berterusan menerima ancaman penderaan, di samping sebagai satu alat untuk meredakan suasana ’panas’ akibat pertelingkahan dalam rumah tangga tersebut.

Sejarah awal penggubalan AKRT 1994 ini adalah dipelopori oleh Aktivis dan NGOs Wanita dengan Bahagian Hal Ehwal Wanita (HAWA) di bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum Oktober 1990, seterusnya di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat selepas Oktober 1990 sebagai Agensi Kerajaan yang bertanggungjawab ketika itu. AKRT 1994 ini telah dikuatkuasakan pelaksanaannya pada tahun 1996.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia menunjukkan bahawa kes keganasan rumah tangga pada tahun 2003 ialah seramai 636 orang, tahun 2004 seramai 560 orang, seterusnya pada tahun 2005 seramai 421 orang, tahun 2006 seramai 485 orang, manakala pada tahun 2007 seramai 373.

Persoalannya, mengapa perlakuan keganasan rumah tangga ini berterusan berlaku. Di manakah kesilapannya?


Monday, October 19, 2009

WARGA EMAS

Di Malaysia warga tua atau warga emas ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas berpandukan takrifan yang dibuat di “World Assembly On Ageing in 1982” di Vienna. Berdasar kepada takrifan ini, warga emas di negara ini telah mencapai 7% pada tahun 2005. Mengikut unjuran, peratus warga tua akan mencapai 15 peratus menjelang tahun 2035. Pada masa itu, Malaysia mamasuki kategori negara yang mengalami penuaan penduduk berasaskan definisi Bangsa-Bangsa Bersatu.

Isu penuaan dan implikasinya perlu diambil perhatian serius mulai sekarang supaya golongan muda dan tua bersedia menghadapi cabaran yang timbul.Justeru itu, program-program sokongan sosial yang sesuai ke arah kesejahteraan warga emas amat perlu dilaksanakan bagi mempastikan golongan warga emas menikmati kemudahan dan keperluan yang bersesuaian demi keselesaan dan kesejahteraan hidup mereka.

Bagi maksud ini, program-program berbentuk perkongsian bijak antara kerajaan dengan pihak swasta, di samping pendekatan yang melibatkan komuniti secara aktif amat perlu diberi perhatian dan keutamaan. Ini adalah sebagai langkah bagi mempastikan tanggungjawab memenuhi keperluan warga emas ini dilaksanakan secara bersama dengan penglibatan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat. Di samping itu, program-program yang sedemikian juga dapat membantu merealisasikan pendekatan dan konsep "Kebajikan adalah tanggungjawab bersama".

Apabila kita membicarakan isu golongan warga emas ini, ianya bukan terhad kepada yang daif dan miskin sahaja perlu diberi perhatian tetapi mereka dari golongan sederhana dan berharta, juga perlu diambil kira kerana wang dan harta tidak menjanjikan mereka akan rasa dihargai dan bahagia. Apa yang lebih penting, kita semua mahu golongan warga emas ini dapat merasakan bahawa diri mereka benar-benar adalah sebahagian dari masyarakat. Kita mahu sumbang bakti mereka disanjung, maruah dan martabat diri mereka dijunjung.