SELAMAT DATANG

Saudara/saudari yang dikasihi sekalian,


Selamat bertemu di gerbang blog FAJARSOLEH. FAJARSOLEH memberi ruang kepada semua pelawat mengemukakan pendapat dan pandangan mengenai apa yang berlaku di sekeliling kita, khususnya berkaitan isu-isu kekeluargaan, kemasyarakatan, kemanusiaan dan keagamaan. Semoga kita dapat menggunakan ruang blog ini untuk memberi manfaat ke arah kesejahteraan ummah dan keredhaan Allah.

Sunday, January 10, 2010

Seminar Kebangsaan ke 2 bertajuk "Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan"


PULAU PINANG, 09 Mac 2010 -- Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyakarat Malaysia (JKMM), Mohd Fazari Mohd Salleh memberi ucapan perasmian Seminar Kebangsaan ke 2 bertajuk "Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan" di sini, hari ini...Seramai 300 peserta dari zon Utara menghadiri seminar sehari anjuran Persatuan Gerontologi Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia(JKMM) dan tiga agensi di peringkat negeri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat...Seminar dirasmikan Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKMM, Mohd Fazari Mohd Salleh. ..Seminar bertujuan mempromosikan pembinaan keluarga bahagia, masyarakat berkualiti, penyayang dan budaya ikram...-- fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA


SERIUS ... Sebahagian daripada peserta Seminar Kebangsaan ke-dua bertajuk "Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan" serius mendengar ucapan pada seminar itu di sini, hari ini...Seramai 300 peserta dari zon Utara menghadiri seminar sehari anjuran Persatuan Gerontologi Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia(JKMM) dan tiga agensi di peringkat negeri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat...Seminar dirasmikan Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKMM, Mohd Fazari Mohd Salleh. ..Seminar bertujuan mempromosikan pembinaan keluarga bahagia, masyarakat berkualiti, penyayang dan budaya ikram...-- fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA....

Wednesday, January 6, 2010

HUBUNGAN ANTARA GENERASI

Sesungguhnya dalam persekitaran kehidupan kekeluargaan yang wujud masa kini di mana sistem keluarga luas yang secara tradisinya adalah sumber utama sokongan keluarga kini semakin terhakis dengan meningkatnya struktur keluarga nuklear. Di samping itu, bilangan pasangan suami isteri yang berkerja di luar rumah semakin meningkat, sementara ahli ahli keluarga lain seperti anak-anak pula sibuk dengan aktiviti masing-masing. Dalam masa yang sama hubungan kekeluargaan antara golongan muda dengan golongan tua dilihat semakin tercabar.

Usaha untuk merapatkan jurang antara generasi ini menjadi semakin penting memandangkan peratusan bilangan warga emas di negara ini semakin meningkat dari semasa ke semasa. Banci penduduk tahun 2000 mencatatkan bilangan warga emas sebanyak 1.45 juta atau 6.2% daripada jumlah penduduk . Pada tahun ini jumlah warga emas telah meningkat kepada 2,025,900 atau 7.1% daripada jumlah penduduik (28.31 juta).

Mengikut unjuran pertubuhan bangsa-bangsa bersatu negara kita akan mencapai status 'negara tua' pada tahun 2035 apabila pecahan peratusan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas mencecah kepada 15%. Faktor utama penuaan penduduk ini ialah kerana penurunan kesuburan dan peningkatan jangka hayat. Jangka hayat penduduk malaysia pada tahun 2005 ialah 71.4 bagi lelaki dan 76.2 bagi wanita berbanding pada tahun 1980 yang mana 63.5 bagi lelaki dan 67.1 bagi wanita.

Fenomena penuaan penduduk ini memerlukan perhatian semua golongan masyarakat kerana sebagaimana yang kita sedia maklum golongan warga emas mempunyai keperluannya yang tersendiri. Penuaan penduduk ini juga menimbulkan berbagai implikasi kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Kerajaan Malaysia dilihat sememangnya mengambil serius berkenaan dengan kadar penuaan yang semakin meningkat dan cabaran untuk menangani keperluan-keperluan warga emas. Dalam hal ini, kerajaan telah mengubal dan meluluskan Dasar Warga Tua Negara (DWTN) pada tahun 1995 serta Pelan Tindakan Warga Tua Negara pada tahun 1998 sebagai respon terhadap keperluan-keperluan warga emas di negara ini.

Beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan yang bergiat dalam bidang kebajikan warga emas ini sedang melaksanakan usaha bagi mempertingkatkan kesedaran tentang pentingnya penerapan nilai-nilai murni bagi merapatkan jurang antara generasi iaitu kanak-kanak, dewasa dan warga emas. Fokus kepada nilai kasih sayang yang merupakan nilai asas bagi pembangunan setiap manusia amat penting ke arah megeratkan hubungan antara generasi. Sekiranya ianya dapat direalisasikan, sudah tentu isu-isu berkaitan warga emas terpinggir dan tarabai dapat dihindari. Sebagai mana kita sedia maklum, nilai kasih sayang merupakan nilai sejagat yang perlu kita pupuk dan kita budayakan dalam hubungan kita di semua peringkat masyarakat.

Dalam hubungan ini juga, semua pihak, sama ada kerajaan, swasta mahupun NGO seharusnya memberi ruang dan peluang kepada golongan warga emas untuk menyumbang kepada masyarakat sesuai dengan keupayaan dan minat mereka. Mereka seharusnya diberikan ruang dan peluang supaya kemahiran dan kepakaran yang ada pada mereka dapat diperturunkan kepada generasi muda.

Dengan cara ini juga, warga emas yang terlibat akan rasa dihargai dan sumbangan bakti kepada generasi muda akan memberi impak kepada hubungan antara generasi.

Saturday, January 2, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010

Salam untuk semua,

Selamat tahun baru 2010.
Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurniaNya kita masih bernafas menyedut udara tahun baru 2010 ini.

Ramai di kalangan saudara-mara dan rakan-taulan kita yang telah sampai ke penghujung jalan kehidupan yang sementara ini, mendahului kita, menemui Allah SWT.

Bersamalah kita mendoakan agar Allah memberikan keampunan atas segala dosa mereka dan roh mereka mendapat kerahmatan dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Andai kata semasa hayat mereka, ada kesilapan dan kesalahan yang mereka lakukan terhadap kita, tuluskanlah hati kita untuk memaafkan mereka. Andai kata ada hutang yang tidak sempat mereka membayarnya, ikhlaskanlah hati kita untuk menghalalkannya. Sesungguhnya biarlah pemergian mereka menemui Penciptanya dalam keadaan aman tanpa terhalang oleh dosa sesama manusia.

Sempena tahun baru ini juga, bersamalah kita berdoakan agar Allah memberi kekuatan kepada kita semua, makhluk ciptaaanNya yang lemah ini, untuk menghadapi segala dugaan dan cabaran. Moga kita sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah serta diberkan keberkatan umur dan rezeki. Syukran, Kullu sanad wa enta fi khair..Nas'alullah an yahdina bi taufiq wannajah fi 'ammil jadid..Amin.

Wednesday, October 21, 2009

KEPERLUAN MANUSIA

Mengikut Abraham Maslow, keperluan mempunyai enam (6) tahap. Untuk memenuhi setiap tahap keperluan manusia perlu memenuhi peringkat sebelumnya. Tahap-tahap tersebut ialah:

Keperluan Fizikal
Keperluan Keselamatan
Keperluan Kasih Sayang
Keperluan Penghargaan Diri
Keperluan Kesempurnaan Diri
Keperluan Kefahaman Kognitif

KEGANASAN RUMAH TANGGA

Isu keganasan rumah tangga di Malaysia telah dikesan sejak awal tahun 1960an lagi. Walaubagaimanapun, kebanyakan insiden jarang dilaporkan kerana isu ini dianggap sebagai masalah peribadi dan patut diselesaikan dalam konteks keluarga itu sendiri.

Masalah ini kini dikatakan sebagai satu masalah sosial pada semua peringkat masyarakat tanpa mengira bangsa, kelas dan status ekonomi. Golongan yang lebih ketara menjadi mangsa keganasan rumah tangga ini ialah golongan wanita.

Kerajaan Malaysia mengambil langkah menggubal Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi menangani isu ini. Penggubalan Akta ini bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga daripada berterusan menerima ancaman penderaan, di samping sebagai satu alat untuk meredakan suasana ’panas’ akibat pertelingkahan dalam rumah tangga tersebut.

Sejarah awal penggubalan AKRT 1994 ini adalah dipelopori oleh Aktivis dan NGOs Wanita dengan Bahagian Hal Ehwal Wanita (HAWA) di bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum Oktober 1990, seterusnya di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat selepas Oktober 1990 sebagai Agensi Kerajaan yang bertanggungjawab ketika itu. AKRT 1994 ini telah dikuatkuasakan pelaksanaannya pada tahun 1996.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia menunjukkan bahawa kes keganasan rumah tangga pada tahun 2003 ialah seramai 636 orang, tahun 2004 seramai 560 orang, seterusnya pada tahun 2005 seramai 421 orang, tahun 2006 seramai 485 orang, manakala pada tahun 2007 seramai 373.

Persoalannya, mengapa perlakuan keganasan rumah tangga ini berterusan berlaku. Di manakah kesilapannya?


Monday, October 19, 2009

WARGA EMAS

Di Malaysia warga tua atau warga emas ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas berpandukan takrifan yang dibuat di “World Assembly On Ageing in 1982” di Vienna. Berdasar kepada takrifan ini, warga emas di negara ini telah mencapai 7% pada tahun 2005. Mengikut unjuran, peratus warga tua akan mencapai 15 peratus menjelang tahun 2035. Pada masa itu, Malaysia mamasuki kategori negara yang mengalami penuaan penduduk berasaskan definisi Bangsa-Bangsa Bersatu.

Isu penuaan dan implikasinya perlu diambil perhatian serius mulai sekarang supaya golongan muda dan tua bersedia menghadapi cabaran yang timbul.Justeru itu, program-program sokongan sosial yang sesuai ke arah kesejahteraan warga emas amat perlu dilaksanakan bagi mempastikan golongan warga emas menikmati kemudahan dan keperluan yang bersesuaian demi keselesaan dan kesejahteraan hidup mereka.

Bagi maksud ini, program-program berbentuk perkongsian bijak antara kerajaan dengan pihak swasta, di samping pendekatan yang melibatkan komuniti secara aktif amat perlu diberi perhatian dan keutamaan. Ini adalah sebagai langkah bagi mempastikan tanggungjawab memenuhi keperluan warga emas ini dilaksanakan secara bersama dengan penglibatan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat. Di samping itu, program-program yang sedemikian juga dapat membantu merealisasikan pendekatan dan konsep "Kebajikan adalah tanggungjawab bersama".

Apabila kita membicarakan isu golongan warga emas ini, ianya bukan terhad kepada yang daif dan miskin sahaja perlu diberi perhatian tetapi mereka dari golongan sederhana dan berharta, juga perlu diambil kira kerana wang dan harta tidak menjanjikan mereka akan rasa dihargai dan bahagia. Apa yang lebih penting, kita semua mahu golongan warga emas ini dapat merasakan bahawa diri mereka benar-benar adalah sebahagian dari masyarakat. Kita mahu sumbang bakti mereka disanjung, maruah dan martabat diri mereka dijunjung.