SELAMAT DATANG

Saudara/saudari yang dikasihi sekalian,


Selamat bertemu di gerbang blog FAJARSOLEH. FAJARSOLEH memberi ruang kepada semua pelawat mengemukakan pendapat dan pandangan mengenai apa yang berlaku di sekeliling kita, khususnya berkaitan isu-isu kekeluargaan, kemasyarakatan, kemanusiaan dan keagamaan. Semoga kita dapat menggunakan ruang blog ini untuk memberi manfaat ke arah kesejahteraan ummah dan keredhaan Allah.

Wednesday, November 10, 2010

PENGABAIAN TERHADAP IBUBAPA

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga bulan Mei 2010 menunjukkan seramai 721 orang warga emas yang menghuni Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan di bawah kendalian JKM mempunyai anak yang masih dapat dikesan.

2. Trend semasa memperlihatkan anak-anak semakin kurang menghargai ibubapa. Berita-berita yang dipaparkan di media massa menunjukkan anak-anak tergamak membuang dan menghantar ibu-bapa ke pusat penjagaan warga emas dan tidak lagi mahu mengambil tahu keadaan ibubapa mereka. Akhbar Berita Harian bertarikh 2 Julai 2010 memaparkan rintihan ‘seorang bapa yang dibuang di rumah jagaan bukan Islam’ di Georgetown, Pulau Pinang. Terbaru pada 24 Oktober 2010, akhbar sama melaporkan seorang ‘bapa dikurung anaknya’ di kawasan garaj kereta.

3. Justeru, bagi menggalakkan warga emas terus berada dalam keluarga dan masyarakat, program-program yang berasaskan pembangunan komuniti perlu dipergiatkan. Program sebegini memerlukan penyertaan masyarakat secara menyeluruh dengan pendekatan multi-sektoral yang mana semua pihak iaitu agensi kerajaan, pertubuhan sukarela (NGO), sektor swasta, masyarakat setempat dan warga emas itu sendiri bersama-sama bergerak menjalankan program tersebut.

4. Antara lain program pembangunan komuniti yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan sistem sokongan kepada warga emas dan keluarga mereka ialah Pusat Aktivit Warga Emas, Pusat Jagaan Harian Warga Emas, Program Khidmat Bantu Di Rumah dan program 'respite care' (penjagaan jangka pendek bagi membolehkan ahli keluarga yang menjaga ibu-bapa berehat seketika). Di samping itu program-program lain yang boleh memberi kesedaran kepada anak-anak tentang tanggungjawab mereka untuk menjaga ibu-bapa yang telah berusia emas juga perlu dilaksanakan secara aktif dan berterusan.

Sunday, November 7, 2010

PENGEMISAN

Masalah pengemisan semakin mendapat liputan di media cetak dan elektronik. Pada 12 Oktober yang lepas tersiar di akhbar Utusan Malaysia tentang penyamaran wartawan akhbar tersebut menjadi pengemis dan dalam masa 2-3 jam mereka dapat meraih ratusan ringgit hasil simpati warga kota yang pemurah. Cerita tentang penyamaran wartawan ini menjelaskan kepada kita tentang mudahnya mendapatkan sumber kewangan melalui aktiviti pengemisan.

Sewajarnya cerita ini menyedarkan kita betapa sumbangan yang kita hulurkan itu sebenarnya telah menyumbang kepada berleluasanya masalah ini. Pemberian kita walaupun dengan niat ikhlas dan suci untuk membantu golongan miskin dan daif tetapi sebenarnya telah memberi implikasi amat negatif kepada diri pengemis itu sendiri dan masyarakat serta negara secara amnya. Sumbangan kita itu telah menggalakkan golongan ini untuk berterusan hidup menadah tangan meminta-minta di jalanan tanpa perlu memikirkan untuk berusaha mencari rezeki dengan jalan yang bermaruah. Bermakna secara tidak langsung kita menggalakkan mereka untuk hidup dengan menjatuhkan maruah mereka dengan meminta-minta mengharapkan simpati orang lain dan terus hidup sebagai manusia yang hilang harga diri..

Sikap pemurah kita juga telah memberi peluang kepada kumpulan tertentu mempergunakan mereka yang kurang bernasib baik, OKU, miskin dan anak yatim untuk mendapatkan kewangan dengan jalan mudah. Tambah memburukkan keadaan, sikap pemurah kita telah menyebabkan kehadiran pengemis warga asing ke negara ini dengan menyalahgunakan pas lawatan mereka. Cuba kita fikirkan, bagaimana pengemis asing yang meniarap dan merangkak sambil menadah tangan boleh sampai ke negara ini jika benar begitulah keadaan fizikalnya?...

Akhirnya, sama-sama kita fikirkan adakah kita mahu aktiviti pengemisan ini menjadi sub-culture kepada masyarakat kita, mahukah negara kita yang dianugerah Allah dengan pelbagai sumber ini digambarkan seolah-olah rakyatnya masih ramai hidup dalam keadaan himpitan kemiskinan...

TIDAK SIAPA MENAFIKAN BAHAWA MEMBANTU ORANG MISKIN ADALAH SATU PERBUATAN YANG BAIK DAN TERPUJI... TETAPI JIKA SUMBANGAN KITA CUMA AKAN MENYEBABKAN GOLONGAN INI BERTERUSAN BERADA DALAM 'HIMPITAN KEMISKINAN', APAKAH KITA INGIN TERUS MEMNGHULUR
WANG KEPADA MEREKA?....LALU MEREKA AKAN TERUS HIDUP DALAM KEADAAN YANG SEDEMIKIAN, YANG HILANG MARUAH DAN HARGA DIRI...

Thursday, October 21, 2010

Harian Metro - Selagi kita terus murah hati

22 Julai 2010

KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang terhadap kegiatan pengemis jalanan atau kutu rayau tidak mencukupi kerana selagi orang ramai terus memberi derma selagi itulah kegiatan berkenaan akan berterusan dan sukar diatasi.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Fazari Mohd Salleh, berkata kesedaran masyarakat perlu dipertingkatkan kerana walaupun usaha membendungnya kerap dilakukan JKM, namun aktiviti itu masih lagi berleluasa.
“Orang ramai perlu sedar tindakan mereka menghulurkan derma kepada pengemis dan kutu rayau akan menggalakkan kegiatan pengemis dan menyukarkan lagi usaha untuk membanterasnya.
“Sepanjang Januari hingga Mei 2010 saja, sejumlah 875 pengemis atau kutu rayau sudah diselamatkan JKM dan kini menjalani pemulihan di institusi kebajikan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.
Mohd Fazari berkata, berdasarkan pemantauan terdapat banyak kawasan dikenal pasti sebagai tumpuan pengemis melakukan kegiatan mereka iaitu kawasan tumpuan ramai antaranya sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, stesen transit aliran ringan (LRT), serta pasar malam sekitar ibu kota.
“Isu pengemis atau kutu rayau adalah kompleks kerana mereka mempunyai pelbagai kategori terdiri daripada pengemis tempatan dan warga asing serta tergolong sebagai warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU). “Justeru, ia memerlukan strategi dan tindakan bersama dengan semua agensi. Dalam hal ini, JKM melaksanakan tiga jenis operasi iaitu Operasi Bersepadu (berkala), Operasi Ad-Hoc dan Operasi Aduan dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Katanya, sekiranya operasi bersepadu dijalankan, JKM mendapat kerjasama padu daripada pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak berkuasa tempatan, Jabatan Imigresen, polis, Agensi Dadah Kebangsaan dan masyarakat setempat.
Menurutnya, JKM bertindak menyelamatkan pengemis atau kutu rayau mengikut peruntukan seksyen 3(2) Akta Orang-Orang Papa (AOP) 1977. “Bagi pengemis tempatan, mereka akan ditahan selama 30 hari untuk siasatan dan jika terbukti mengemis, mereka akan ditahan di Institusi Kebajikan untuk menjalani pemulihan tiga tahun.
“Bagi pengemis warga asing, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya manakala pengemis kanak-kanak akan diserahkan kepada Pelindung JKM yang akan menyelamatkan mereka berdasarkan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.
“JKM mempunyai jadual terancang yang dilakukan sepanjang bulan oleh JKM negeri dan daerah bagi mengatasi masalah ini. Tetapi sekiranya pihak jabatan menerima aduan mengenai kes pengemisan, JKM akan bertindak segera. Kebiasaannya, JKM menerima aduan melalui panggilan telefon ataupun rujukan kes dari Talian Nur 15999,” katanya.

Wednesday, October 20, 2010

GELANDANGAN

Menurut Hall, 2009, istilah Gelandangan atau Homeless pada asalnya disebut sebagai Vagrants yang kemudiannya digantikan kepada bahasa Eufemistis iaitu Homeless.

Kamus Dewan Edisi Empat mentakrifkan, gelandangan sebagai orang yang tiada pekerjaan atau tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap, manakala Mr. Dominic Mapstone, Social Worker and Director of Rebecca Community pula mentakrifkan gelandangan sebagai "...an inadequate experience of connectedness of family and or community".

Melalui takrifan di atas dapat difahami bahawa gelandangan adalah individu atau sekumpulan orang yang bukan sahaja tidak mempunyai pekerjaan atau tempat tinggal tetapi juga telah hilang kefungsiannya dalam keluarga ataupun masyarakat. Golongan ini juga sangat berkait rapat dengan fenomena orang papa seperti yang ditafsirkan di bawah seksyen 2, Akta Orang-Orang Papa 1977 iaitu:

(i) seseorang yang mengemis di tempat awam hingga menimbulkan kegusaran atau mengganggu orang ramai yang biasa mengunjungi tempat tersebut; atau

(ii)seseorang peleser yang dijumpai di tempat awam, sama ada ia mengemis atau tidak, yang tiada mata pencarian pada zahirnya atau tiada tempat tinggal atau tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan.

Gelandangan atau homeless bukanlah satu fenomena yang baru. Namun, sejak akhir-akhir ini ia menjadi satu fenomena sosial yang semakin menarik perhatian umum di negara ini kerana ia menimbulkan kegusaran masyarakat sekeliling dan semakin banyak dibangkitkan di dalam media cetak dan media elektronik, terutamanya masalah gelandangan yang berlaku di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.

Masalah gelandangan kebiasaannya terjadi akibat sukar untuk mendapat pekerjaan, tidak mampu menanggung kos sara hidup dan sewa rumah yang tinggi terutamanya di bandar-bandar besar. Golongan penagih dadah dan pesakit mental yang telah terbiasa dengan kehidupan bergelandangan yang bebas dan tidak terikat dengan sesiapa juga menyumbang kepada isu gelandangan ini.

Pada masa ini, golongan gelandangan menjadi sebahagian daripada pemandangan biasa di sekitar kawasan ibu negara, khususnya pada waktu malam. Keadaan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan reputasi dan imej negara. Isu gelandangan ini tidak lagi boleh dianggap sebagai isu terpencil tetapi perlu dilihat sebagai masalah sosial yang wajar ditangani dan dicari jalan penyelesaian dengan segera. Justeru, mekanisme yang terbaik bagi menangani isu ini, sekaligus dapat membantu mereka diintegrasikan semula ke dalam masyarakat serta tidak terus tercicir daripada arus perdana pembangunan negara perlu dirancang dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Gelandangan - Penghuni kaki lima Kuala Lumpur boleh dapatkan rumah rakyat

smohd@bharian.com.my
2010/09/14

BANGSAR: Golongan gelandangan yang bekerja tetapi menjadikan kaki lima di bandar raya ini sebagai tempat tidur boleh memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pembangunan Bandar (KWPKB). Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata antara syaratnya ialah mereka menetap di Kuala Lumpur, berpendapatan bawah RM2,500 dan warga negara Malaysia. Beliau berkata, golongan gelandangan terutama yang sudah berkeluarga boleh memohon untuk menyewa rumah PPR yang harganya hanya RM124 sebulan.

“Jika cukup syarat yang ditetapkan golongan terbabit boleh mendapatkan borang di pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Bagaimanapun, pemohon perlu menunggu kerana rumah PPR adalah terhad berbanding 25,000 senarai menunggu yang akan dipindahkan dari kawasan setinggan di bandar raya ini,” katanya.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani golongan gelandangan dalam usaha membanteras masalah individu berpeleseran di negara ini melalui pendekatan terbaik.
Jawatankuasa itu diwujudkan Mac lalu dan dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian terbabit.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Fazari Mohd Salleh, berkata gelandangan dibahagikan kepada enam kategori iaitu merujuk kepada golongan miskin tanpa rumah atau kerja, ada kerja tidak tetap dan tidak mampu memiliki rumah, pengemis atau individu berpeleseran, pesakit mental, penagih dan penghidap HIV.

Beliau berkata, masalah itu baru 'diketengahkan' di negara ini dan kementerian melalui JKM serta jawatankuasa khas terbabit sedang mengumpul data berhubung golongan sasaran.

Kebanyakan golongan gelandangan di ibu kota yang bekerja terpaksa menjadikan kaki lima sebagai tempat tidur kerana gaji yang diperoleh tidak mencukupi untuk menyewa rumah yang mahal.

Golongan itu mendakwa kira-kira 40 peratus gelandangan yang berpendapatan RM1,000 hanya mampu menyewa rumah PPR yang harganya lebih murah.

Raja Nong Chik berkata, KWPKB akan melihat keperluan jika golongan terbabit lebih memerlukan rumah berbanding senarai menunggu setinggan yang masih dalam perbincangan.

Berita Harian Online - Nasib gelandangan dapat perhatian kerajaan, NGO

Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail dan Sarah Sulaiman
bminggu@bharian.com.my 2010/08/01

KUALA LUMPUR: Kawasan tertentu sekitar ibu negara menjadi tempat berkeliaran sekitar 1,000 kutu rayau dan kawasan yang menjadi tumpuan mereka ialah Hentian Puduraya, Kompleks Dayabumi dan kawasan lapang serta perhentian bas di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini. ‘Katil’ mereka di kaki lima bangunan, tempat letak kenderaan, bawah jambatan, jejambat atau kawasan lapang manakala beg galas, kertas surat khabar lama atau kotak kertas dijadikan bantal dan ada kalanya memadai berbantalkan lengan sendiri saja, sebagai tempat tidur berbumbungkan langit.
Golongan yang juga dikenali sebagai gelandangan terbabit, bukannya tidak pernah ditawarkan pekerjaan di sektor perladangan, pengeluaran dan restoran tetapi masalah yang bagaikan tiada noktah itu adalah kerana sikap kutu rayau itu sendiri.

Program Jabatan Tenaga Kerja dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan golongan itu kerja juga tidak mendapat sambutan seperti diharapkan apabila kebanyakan mereka kembali kepada keadaan asal selepas beberapa hari bekerja.

Golongan itu juga didapati tidak berminat untuk bekerja tetapi sekadar datang ketika waktu program untuk mendapat makanan percuma yang diberikan NGO.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed, berkata melalui program pendaftaran dan penempatan golongan gelandangan dan pencari kerja yang dijalankan bermula 22 Februari hingga 20 April lalu, ada 137 golongan gelandangan mendaftar.
Daripada jumlah itu, 41 orang berjaya diberikan pekerjaan dan selebihnya masih menganggur.

“Daripada 41 orang yang berjaya mendapat kerja pula, 20 saja yang kekal dan jumlah selebihnya melarikan diri atas sebab tertentu, termasuk mendakwa tidak sesuai dengan pekerjaan ditawarkan.

“Melalui program untuk mendapatkan kerja kepada golongan gelandangan yang diadakan secara berjadual di sekitar Masjid Negara, Hentian Puduraya, Masjid India dan hentian bas Pasar Seni, saya berpendapat golongan ini tidak berminat untuk bekerja. Mereka lebih selesa dengan kehidupan sebegitu kerana tidak perlu memikirkan soal mencari makanan kerana ia diberikan NGO,” katanya.

Sheikh Yahya tidak menafikan ada segelintir golongan gelandangan bekerja dengan serius selepas mendapat pekerjaan hinggakan majikan memberikan tempat tinggal.

“Ada juga kes majikan terpaksa memilih dengan teliti golongan ini kerana ada yang mempunyai rekod jenayah yang berulang dan penagih dadah. Majikan juga perlu berhati-hati dalam memilih pekerja kerana sebelum ini beberapa kes penipuan berlaku apabila mereka yang diberi kerja hanya mengambil kesempatan untuk mencuri barangan pekerja lain,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang ingin mencari pekerjaan, kaunter Jabatan Tenaga Kerja dibuka setiap malam Selasa dan Khamis di Masjid India dan kawasan berhampiran Hentian Puduraya.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Isu Golongan Gelandangan dalam usaha membanteras masalah individu berpeleseran di negara ini melalui pendekatan yang terbaik.

Jawatankuasa itu diwujudkan Mac lalu dan dipengerusikan ketua setiausaha kementerian terbabit. Gelandangan dibahagikan kepada enam kategori, merujuk kepada golongan miskin tanpa rumah atau kerja, ada kerja tidak tetap dan tidak mampu memiliki rumah, pengemis atau individu berpeleseran, pesakit mental, penagih dan penghidap HIV.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Fazari Mohd Salleh, menyifatkan masalah kutu rayau itu sebagai baru di negara ini dan kementerian menerusi JKM serta jawatankuasa khas terbabit sedang mengumpul data berhubung golongan sasaran.

Katanya, melalui maklumat NGO yang membantu golongan berkenaan termasuk yang memberikan makanan secara percuma, ada kira-kira 1,000 gelandangan di sekitar ibu negara tetapi data terperinci mengenai golongan itu sedang dikumpulkan.

“Pelbagai pihak kini sedang berusaha mengumpulkan maklumat berkaitan perkara ini, termasuk agensi yang terbabit adalah JKM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Belia dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), enam NGO dan sebuah syarikat pembekal makanan segera,” katanya.

Kosmo Online - Melayu ramai di rumah orang tua

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
15 Ogos 2010

KUALA LUMPUR – Bagai satu sindrom berterusan, warga emas di kalangan kaum Melayu merupakan kumpulan yang paling ramai ditempatkan di rumah-rumah penjagaan orang tua di seluruh negara.

Untuk rekod, bagi tempoh empat tahun berturut-turut bermula pada tahun 2007 hingga Jun tahun ini, seramai 3,864 warga emas Melayu ditempatkan di 11 institusi penjagaan seluruh negara.

Kaum-kaum lain turut berbuat demikian namun hanya mencatatkan sebanyak 2,591 bagi kaum Cina dan 1,905 orang (kaum India) bagi tempoh sama.

Menurut Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd. Fazari Mohd. Salleh, dalam tempoh sebulan, secara purata pihaknya menerima kemasukan 20 orang warga tua pelbagai kaum di rumah penjagaan warga emas kelolaan pihaknya.

Tuesday, October 19, 2010

Eksklusif: Ibu bapa bercerai punca anak abai warga emas

Berita Harian Online - 2010/05/23

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohd Fazari Mohd Salleh, berkata sebahagian warga emas diabaikan kerana anak sudah biasa sejak kecil hidup tanpa bapa. “Kerap kali apabila berlaku perceraian, anak akan duduk dengan ibu dan sikap bapa yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anak menyebabkan hubungan antara anak dan bapa renggang. Ada sesetengah waris menolak untuk menjaga bapa mereka atas alasan itu walaupun mampu dari segi kewangan untuk berbuat demikian,” katanya. Kata Fazari, ada juga waris yang ingin menjaga bapa atau ibu mereka, tetapi tidak berupaya dari segi kewangan. Bukan saja perlu menampung bayaran pengangkutan dan rawatan susulan di hospital, tetapi juga sara diri pesakit terutama mereka yang memerlukan makanan khas dan lampin pakai buang menyebabkan waris terpaksa menempatkan ibu atau bapa di Rumah Seri Kenangan.

“Begitu juga jika pesakit menghidap penyakit kronik, bermasalah mental dan tidak upaya menjaga diri sendiri,” katanya.

Dalam hal begini kata Fazari, pesakit biasanya tidak mahu menyusahkan anak dan memilih dengan sukarela untuk tinggal di Rumah Seri Kenangan.

“Dengan taraf kehidupan yang semakin meningkat, ramai suami isteri kini bekerja, manakala anak memiliki jadual persekolahan atau kelas tambahan.
Justeru, mereka sukar untuk menjaga ibu atau bapa, apatah lagi jika ibu bapa itu uzur dan memerlukan perhatian penuh,” katanya.

Kajian Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital KUala Lumpur juga mendapati ada kes pesakit terdampar kerana halangan daripada menantu.

Dalam keadaan ini biasanya, menantu lelaki tidak membenarkan isteri menjaga ibu atau bapa mentua kerana menganggap mentua ‘pengacau’ dalam rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, bukan semua kes pesakit terdampar terbeban dengan kesilapan silam ibu atau bapa. Ada juga kes, ibu bapa mendidik anak dengan elok dan terdidik hingga ke menara gading. Bagaimanapun, mereka enggan menjaga ibu bapa kerana tidak menganggap ibu dan ayah penting dalam hidup.

Selain itu, ada kes, warga emas memilih untuk keluar dari rumah berikutan berlaku perceraian pada usia emas. Tidak mahu menyusahkan anak, mereka memilih untuk menjadi penghuni Rumah Seri Kenangan.

Friday, August 13, 2010

Berita Harian Online - Eksklusif: Tahfiz dibuang

Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bharian.com.my 23/05/2010

KUALA LUMPUR: Mereka bukan calang-calang orang, tetapi tahfiz, bekas pegawai tentera, pegawai bank dan pesara kerajaan, kini tergolong sebagai pesakit terdampar selepas tiada waris termasuk anak-anak yang mahu mengambil mereka pulang walaupun sudah sembuh dirawat di hospital. Jumlah pesakit seperti mereka, kebanyakannya warga tua semakin meningkat di beberapa hospital kerajaan termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mencatatkan 489 kes tahun lalu meningkat 81 kes berbanding tahun sebelumnya.

Sebahagian mereka kini ditempatkan di rumah transit yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi penempatan sementara sebelum dipindahkan ke rumah perlindungan lain.

Bagaimanapun jumlah itu kini sudah terlalu besar untuk ditampung rumah transit berkenaan.

Difahamkan, beberapa hospital kerajaan di sekitar Lembah Klang seperti Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Klang menghadapi masalah sama.
Pegawai Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL (JKSPHL), Mohd Kamaruzzaman Ali yang ditemui Berita Minggu berkata, sebahagian pesakit dihantar oleh anak ke hospital untuk rawatan, tetapi selepas sembuh, mereka tidak datang mengambil orang tua masing-masing.

Waris pesakit berkenaan bukan saja tidak datang menjenguk di hospital, malah sengaja memberikan alamat dan nombor telefon palsu kerana tidak mahu dikesan.

Ketika ini, hampir semua rumah transit di Lembah Klang dihuni sepenuhnya pesakit terdampar, sekali gus menambah lagi kesesakan di HKL kerana pengendali rumah transit tidak dapat menerima pesakit untuk sementara. Rumah transit hanya boleh menempatkan mereka untuk tempoh enam bulan ke setahun saja sebelum dipindahkan.

Rumah transit yang dikendalikan NGO di HKL hanya boleh menampung kira-kira 20 penghuni, sedangkan masih ramai penghuni belum dipindahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sama ada ke Rumah Seri Kenangan atau Rumah Ehsan di seluruh negara.

Mohd Kamaruzzaman berkata, daripada keseluruhan kes di HKL, 81.8 peratus membabitkan pesakit lelaki yang majoritinya berbangsa Melayu dalam lingkungan usia 18 ke 74 tahun.

Katanya, bagi pesakit terdampar yang langsung tiada waris atau waris gagal dikesan dan boleh menguruskan diri sendiri, mereka akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan milik JKM, manakala pesakit terlantar dan memerlukan penjagaan sepenuhnya, seboleh-bolehnya mereka akan ditempatkan di Rumah Ehsan.

Sementara itu, Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Ampang dan Pengerusi Pusat Penjagaan Nur Hasanah (rumah transit) Mohiadin Bahado, berkata pihak hospital perlu mengeluarkan pesakit dari wad apabila sembuh atau hanya memerlukan rawatan susulan seminggu atau sebulan sekali bagi menempatkan pesakit lain.

“Untuk sesetengah kes, kita boleh berunding dengan doktor untuk menangguhkan proses mengeluarkan mereka dari wad, tetapi sampai bila? Kita perlu faham kapasiti wad, selain duduk lama di wad mendedahkan mereka kepada pelbagai jangkitan kuman.

“Dari segi psikologi, apabila mereka gagal ditempatkan di institusi penjagaan kekal dengan alasan masih ada waris, secara automatik semangat untuk hidup merosot,” katanya.

Beliau berkata, ada waris yang enggan mengambil pesakit berkenaan dengan alasan sibuk bekerja malah ada yang menolak dengan alasan, bapa atau ibu mereka tidak bertanggungjawab ketika mereka kecil.

Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Serdang, Rozida Ahmad Zaidi berkata, pesakit terdampar yang tidak berwaris kerana tidak pernah berkahwin atau berkahwin, tetapi tiada zuriat, akan ditempatkan ke penempatan sementara kelolaan JKM.

“Misi JKM untuk meletakkan mereka kembali ke dalam sistem keluarga. Namun apabila waris tidak mahu menerima, mereka akan menghuni Rumah Seri Kenangan, tetapi tempoh dilalui sebelum ditempatkan di sana panjang dan tentunya tempoh itu mengguris hati mereka,” katanya.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM, Mohd Fazari Mohd Salleh, berkata bagi kes pesakit terdampar, sejak 2006 hingga 2008, JKM sudah menempatkan 220 orang di dua Rumah Ehsan di Dungun, Terengganu dan sebuah lagi di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Kedua-dua Rumah Ehsan itu hanya boleh menampung 220 pesakit pada satu-satu masa.

“Pesakit terdampar dikategorikan sebagai orang papa mengikut Akta Orang Papa 1977. Kebanyakan mereka tidak berwaris atau tidak mampu dijaga mereka,” katanya.

Sehingga September 2009, JKM memberi elaun Bantuan Orang Tua (BOT) RM300 sebulan kepada 71,944 warga emas. Angka ini adalah peningkatan sekali ganda berbanding 31,042 orang pada 2008 dan 27,636 orang pada 2007.

Utusan Malaysia Online - JKM tawar bantu warga emas melarat

KUALA LUMPUR 26 Mei 2009 - Sebanyak 24,908 warga emas yang hidup melarat dan daif di negara ini telah diberikan bantuan kewangan RM300 sebulan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan kesempitan hidup mereka.

Pengarah Bahagian Warga Emas dan Keluarga JKM, Mohd. Fazari Mohd. Salleh berkata, sumbangan tersebut disalurkan oleh jabatan itu di bawah Skim Bantuan Orang Tua.

''Bantuan itu terbuka kepada warga tua yang miskin atau melarat. Mereka boleh memohon sendiri bantuan tersebut di pejabat JKM di daerah masing-masing,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Laporan Khas Utusan Malaysia semalam, yang menyiarkan mengenai nasib hampir 100,000 warga emas yang terpinggir dan hidup bersendirian.

Golongan tersebut merupakan antara 2.1 juta warga emas yang terdapat di negara ini.

Daripada jumlah itu, 69 peratus daripadanya adalah wanita yang berusia 60 tahun ke atas yang hidup bersendirian di luar bandar.

Perangkaan mengenai warga emas tersebut diperolehi daripada Banci Penduduk dan Perumahan 2000 yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Mengulas lanjut isu tersebut, Mohd. Fazari berkata, skim bantuan itu juga diperuntukkan kepada warga emas di Semenanjung yang berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan dan warga emas di Sabah dan Sarawak yang berpendapatan kurang daripada RM950 sebulan.

Tambahnya, warga emas yang tidak mempunyai rumah juga dipelawa memohon untuk menjadi penghuni di institusi-institusi JKM di seluruh negara.

Katanya, selain itu terdapat juga persatuan sukarelawan yang mengendalikan rumah-rumah kebajikan untuk warga emas seperti Rumah sejahtera yang diuruskan oleh Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia.

Utusan Malaysia Online - Menumpang kasih di hujung usia

O
leh ZUARIDA MOHYIN

SEMUA dosa akan ditangguhkan Allah, iaitu balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. (riwayat al-Hakim). Dalam hadis lain pula, Nabi Muhammad ada bersabda: "Keredaan Allah bergantung kepada keredaan kedua-dua ibu bapa."

Ini bermakna apa sahaja perbuatan yang dikira menderhaka kepada ibu bapa akan dibalas di dunia lagi atau semasa kita hidup. Bahkan, jika mereka marah dan berkecil hati kepada kita, maka setiap detik dalam hidup kita adalah dalam kemurkaan Allah SWT.

Hakikatnya, banyak ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan perihal kewajipan seorang anak kepada ibu bapa. Balasan baik bagi yang berbakti serta berlaku baik kepada orang tua. Begitu juga balasan keras Allah kepada anak yang tidak mengenang budi.

Sedihnya, masyarakat hari ini seperti tidak sedar mahupun insaf. Jika tidak, mengapa masih ada anak-anak yang sanggup mengabaikan ibu, bapa atau kedua-duanya sekali?

Malah tidak terkecuali juga yang sanggup mencederakan secara fizikal jika kehendak mereka tidak dipenuhi. Sebagaimana yang banyak dipaparkan di media massa.

Adakah dunia kebendaan hari ini memisahkan anak-anak daripada rasa tanggungjawab untuk memelihara ibu bapa masing-masing?

Atau adakah telah hilangnya rasa kasihan belas anak-anak kepada insan tua yang telah berkorban nyawa dan tenaga demi menjadikan mereka manusia berjaya?

Tambah memedihkan dan mengejutkan apabila ada segelintir pula yang mengkategorikan tanggungjawab memelihara itu sebagai satu bebanan dan melibatkan kos.

Meskipun, tidak semua daripada kita berperilaku sedemikian, tetapi hakikatnya ia suatu budaya yang semakin menular dan berlaku di hadapan mata kita hari ini.

Jika difikirkan, memang pelik apabila ibu bapa boleh membesarkan waima 10 orang anak tetapi anak yang seramai itu tidak mampu memelihara dua insan mulia ini.

Malah telah menjadi trend masa kini, anak-anak menghantar orang tua mereka ke pusat-pusat jagaan atau ke rumah kebajikan.

Alasannya, mahukan penjagaan yang terbaik buat ibu bapa, tidak mahu mereka kebosanan di rumah serta alasan paling popular, terlalu sibuk dengan pekerjaan.

Namun, pernahkah kita bertanya daripada hati ke hati dengan ibu atau bapa kita atau bertanyakan kepada diri kita sendiri, adakah mereka bahagia begitu? Atau adakah tindakan kita itu wajar? Ataupun tidak takutkah jika nasib kita juga serupa mereka kerana kehidupan ini umpama roda bukan!

Pada kunjungan ke Rumah Ehsan, Kuala Kubu Bharu, Selangor, iaitu iaitu sebuah rumah kebajikan yang menjaga, melindungi dan merawat warga-warga emas yang berpenyakit kronik serta melarat, ia jelas memperlihatkan sikap segelintir anak yang tidak bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka.

Namun, setiap kuntum senyuman dan riak keseronokan pada wajah para penghuninya, tidak berjaya menyembunyikan kesunyian yang jelas kelihatan pada garis-garis kedut usia tua mereka.

Seperkara yang begitu terkesan dan menyentap jantung penulis, di mana dalam sisa-sisa usia berbaki itu, masih ada antara mereka yang tidak kering pengorbanannya. Mereka rela menjadi lilin, membakar diri demi menyinari orang tersayang.

Rumah Ehsan adalah institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini didiami oleh seramai 101 orang penghuni lelaki dan perempuan yang berbilang bangsa, Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Menurut Pengetua Rumah Ehsan, Aziah Noordin, penghuni rumah itu terdiri daripada beberapa kategori antaranya orang tua yang ketiadaan waris, tidak mampu menjaga diri sendiri dan ketiga penghuni yang datang secara sukarela.

"Kami di sini cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para penghuninya, waima antara kami dengan penghuni tiada pertalian darah. Menyedari bahawa inilah rumah terakhir bagi para penghuni, jadi kita cuba penuhi keperluan mereka selagi hayat dikandung badan.

"Di Rumah Ehsan inilah diberikan jagaan dan perlindungan, rawatan perubatan dan jagaan kesihatan, bimbingan dan kaunseling, perkhidmatan fisioterapi, bimbingan agama dan kemudahan beribadat serta rekreasi dan cara pulih kerja.

"Malah baru-baru ini juga kami ada menerima seorang ustaz yang diharap dapat membantu terutamanya kepada penghuni Islam untuk mengisi sisa-sisa usia mereka dengan menambah dan memperbaiki ilmu agama di dada," katanya para penghuni di rumah ini dijaga 24 jam oleh kakitangan berdedikasi.

Menariknya di sini ialah apabila ketibaan Ramadan, pada tahun lalu, lebih kurang 18 penghuni Islamnya telah berjaya berpuasa penuh sebulan.

Malah bagi mereka yang larat, solat terawih akan dilaksanakan secara berjemaah.

Thursday, August 12, 2010

Living the twilight years

by Sonia Ramachandran
New Straits Times, Jan 11, 2009

GOING through a mid-life crisis? Brother, it is nothing compared to what you might go through in your golden years. There are two million senior citizens in Malaysia today, or about seven per cent of the population, and their numbers are steadily increasing. By 2035, Malaysia will become an ageing society whereby 15 per cent of the population are senior citizens. Are we prepared to care for our senior citizens in the coming years, asks SONIA RAMACHANDRAN.

Are we ready to care for the aged?

HAPPILY married and with a daughter, Sharon who is in her mid- 40s is already looking at life some 20 years down the road when she joins the ranks of the senior citizens.

"It has nothing to do with whether I think my child will not look after me," said Sharon.

"I now have four maids looking after two households as I have to take care of both my parents and my in-laws. I have many siblings to share these responsibilities and cost.

"I don't know if my child will be able to afford this in 20 years time and she does not have siblings to share this responsibility."

There are many like-minded Malaysians who have started setting aside money for their golden days.

A popular concept abroad, retirement homes, however, do not figure in Malaysia.

What is common though are public old folks homes and for those who can afford it, private nursing homes, homes that offer assisted living as well as homes that just say "home-care" or even "day- care".

"There are no retirement homes under the government. We do not have a definition or a concept of retirement homes," said Social Welfare Department's senior assistant director for the senior citizen and family division, Mohd Fazari Mohd Salleh

Sunday, January 10, 2010

Seminar Kebangsaan ke 2 bertajuk "Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan"


PULAU PINANG, 09 Mac 2010 -- Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyakarat Malaysia (JKMM), Mohd Fazari Mohd Salleh memberi ucapan perasmian Seminar Kebangsaan ke 2 bertajuk "Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan" di sini, hari ini...Seramai 300 peserta dari zon Utara menghadiri seminar sehari anjuran Persatuan Gerontologi Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia(JKMM) dan tiga agensi di peringkat negeri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat...Seminar dirasmikan Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKMM, Mohd Fazari Mohd Salleh. ..Seminar bertujuan mempromosikan pembinaan keluarga bahagia, masyarakat berkualiti, penyayang dan budaya ikram...-- fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA


SERIUS ... Sebahagian daripada peserta Seminar Kebangsaan ke-dua bertajuk "Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan" serius mendengar ucapan pada seminar itu di sini, hari ini...Seramai 300 peserta dari zon Utara menghadiri seminar sehari anjuran Persatuan Gerontologi Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia(JKMM) dan tiga agensi di peringkat negeri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat...Seminar dirasmikan Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKMM, Mohd Fazari Mohd Salleh. ..Seminar bertujuan mempromosikan pembinaan keluarga bahagia, masyarakat berkualiti, penyayang dan budaya ikram...-- fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA....

Wednesday, January 6, 2010

HUBUNGAN ANTARA GENERASI

Sesungguhnya dalam persekitaran kehidupan kekeluargaan yang wujud masa kini di mana sistem keluarga luas yang secara tradisinya adalah sumber utama sokongan keluarga kini semakin terhakis dengan meningkatnya struktur keluarga nuklear. Di samping itu, bilangan pasangan suami isteri yang berkerja di luar rumah semakin meningkat, sementara ahli ahli keluarga lain seperti anak-anak pula sibuk dengan aktiviti masing-masing. Dalam masa yang sama hubungan kekeluargaan antara golongan muda dengan golongan tua dilihat semakin tercabar.

Usaha untuk merapatkan jurang antara generasi ini menjadi semakin penting memandangkan peratusan bilangan warga emas di negara ini semakin meningkat dari semasa ke semasa. Banci penduduk tahun 2000 mencatatkan bilangan warga emas sebanyak 1.45 juta atau 6.2% daripada jumlah penduduk . Pada tahun ini jumlah warga emas telah meningkat kepada 2,025,900 atau 7.1% daripada jumlah penduduik (28.31 juta).

Mengikut unjuran pertubuhan bangsa-bangsa bersatu negara kita akan mencapai status 'negara tua' pada tahun 2035 apabila pecahan peratusan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas mencecah kepada 15%. Faktor utama penuaan penduduk ini ialah kerana penurunan kesuburan dan peningkatan jangka hayat. Jangka hayat penduduk malaysia pada tahun 2005 ialah 71.4 bagi lelaki dan 76.2 bagi wanita berbanding pada tahun 1980 yang mana 63.5 bagi lelaki dan 67.1 bagi wanita.

Fenomena penuaan penduduk ini memerlukan perhatian semua golongan masyarakat kerana sebagaimana yang kita sedia maklum golongan warga emas mempunyai keperluannya yang tersendiri. Penuaan penduduk ini juga menimbulkan berbagai implikasi kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Kerajaan Malaysia dilihat sememangnya mengambil serius berkenaan dengan kadar penuaan yang semakin meningkat dan cabaran untuk menangani keperluan-keperluan warga emas. Dalam hal ini, kerajaan telah mengubal dan meluluskan Dasar Warga Tua Negara (DWTN) pada tahun 1995 serta Pelan Tindakan Warga Tua Negara pada tahun 1998 sebagai respon terhadap keperluan-keperluan warga emas di negara ini.

Beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan yang bergiat dalam bidang kebajikan warga emas ini sedang melaksanakan usaha bagi mempertingkatkan kesedaran tentang pentingnya penerapan nilai-nilai murni bagi merapatkan jurang antara generasi iaitu kanak-kanak, dewasa dan warga emas. Fokus kepada nilai kasih sayang yang merupakan nilai asas bagi pembangunan setiap manusia amat penting ke arah megeratkan hubungan antara generasi. Sekiranya ianya dapat direalisasikan, sudah tentu isu-isu berkaitan warga emas terpinggir dan tarabai dapat dihindari. Sebagai mana kita sedia maklum, nilai kasih sayang merupakan nilai sejagat yang perlu kita pupuk dan kita budayakan dalam hubungan kita di semua peringkat masyarakat.

Dalam hubungan ini juga, semua pihak, sama ada kerajaan, swasta mahupun NGO seharusnya memberi ruang dan peluang kepada golongan warga emas untuk menyumbang kepada masyarakat sesuai dengan keupayaan dan minat mereka. Mereka seharusnya diberikan ruang dan peluang supaya kemahiran dan kepakaran yang ada pada mereka dapat diperturunkan kepada generasi muda.

Dengan cara ini juga, warga emas yang terlibat akan rasa dihargai dan sumbangan bakti kepada generasi muda akan memberi impak kepada hubungan antara generasi.

Saturday, January 2, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010

Salam untuk semua,

Selamat tahun baru 2010.
Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurniaNya kita masih bernafas menyedut udara tahun baru 2010 ini.

Ramai di kalangan saudara-mara dan rakan-taulan kita yang telah sampai ke penghujung jalan kehidupan yang sementara ini, mendahului kita, menemui Allah SWT.

Bersamalah kita mendoakan agar Allah memberikan keampunan atas segala dosa mereka dan roh mereka mendapat kerahmatan dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Andai kata semasa hayat mereka, ada kesilapan dan kesalahan yang mereka lakukan terhadap kita, tuluskanlah hati kita untuk memaafkan mereka. Andai kata ada hutang yang tidak sempat mereka membayarnya, ikhlaskanlah hati kita untuk menghalalkannya. Sesungguhnya biarlah pemergian mereka menemui Penciptanya dalam keadaan aman tanpa terhalang oleh dosa sesama manusia.

Sempena tahun baru ini juga, bersamalah kita berdoakan agar Allah memberi kekuatan kepada kita semua, makhluk ciptaaanNya yang lemah ini, untuk menghadapi segala dugaan dan cabaran. Moga kita sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah serta diberkan keberkatan umur dan rezeki. Syukran, Kullu sanad wa enta fi khair..Nas'alullah an yahdina bi taufiq wannajah fi 'ammil jadid..Amin.